PETALING JAYA: Pintu final ­Piala Malaysia masih terbuka dan kalah tipis 0-1 memberi harapan kepada Sabah FC mereka masih boleh meraih tiket ke Bukit Jalil asalnya Datuk Ong Kim Swee membuat percaturan tepat untuk menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.

Pemain sayap Sabah, Saddil Ramdani percaya, segalanya masih berkemungkinan buat Sang Badak mengintai tempat di perlawanan akhir.

“Memang kami kecewa ­de­ngan kedudukan 0-1 tetapi perlawanan pertama agak tegang dan sengit.

“Seluruh pemain telah berikan apa yang diminta ketua jurulatih untuk bekerja keras di atas padang dan motivasi yang diberikan sentiasa menjadi pembakar semangat kepada kami.

“Harapan saya Sabah mampu beraksi lebih baik dan mengambil sesuatu daripada perlawanan kedua.

“Saya masih percaya dengan diri sendiri dan rakan-rakan di perlawanan kedua jika kami boleh meneruskan rentak yang sama nanti di Johor,” katanya semalam.

Saddil Ramdani ketika beraksi menentang JDT.

Dalam aksi di Stadium Likas, Selasa lalu, jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit 34 memisahkan kedua-dua pasukan walaupun Sabah mendapat kelebihan seorang pemain pada minit ke-72 apabila pertahanan JDT, Feroz Baharudin dibuang padang.

Walaupun tidak berada di tahap kecergasan 100 peratus, Saddil tetap menjadi taruhan utama Kim Swee apabila ­bermula dalam kesebelasan utama serta diletakkan selaku penyerang tengah.

Pemain import dari Indonesia itu berjaya menghadirkan banyak tekanan kepada pertahanan JDT.

Bagaimanapun, namun beberapa peluang terutama menerusi sepakan percuma gagal menemui penyudah.

SABAH FC memerlukan percaturan taktikal terbaik daripada Ong Kim Swee.

Sementara itu, penjaga gol Sabah, Damien Lim, yang ­memperagakan persembahan cemerlang bagi menafikan kemenangan lebih besar JDT, berharap mereka mampu berikan segalanya semasa aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim.

“Harap di Stadium Sultan Ibrahim, kami mampu berjuang habis-habisan setelah berjaya mempamerkan semangat yang luar biasa semasa bermain di tempat sendiri.

“Kami berjaya mengikuti segala taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dan sememang­nya kami berpuas hati kerana menghadirkan tentangan ­kepada lawan sehebat JDT,” ­katanya.

The post Defisit satu gol tidak besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *