DOHA: Penggendali Denmark, Kasper Hjulmand mendedahkan pasukannya kini berada dalam situasi yang rumit dalam Kumpulan D apabila berada di tangga ketiga, di belakang Tunisia apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan tempoh hari, dan perlu mencari kemenangan ke atas Perancis hari ini dalam usaha lolos ke pusingan kedua Piala Dunia Qatar.

Ia satu tugas yang cukup sukar memandangkan motivasi pasukan Les Blues berada di tahap tertinggi selepas mereka berjaya membenam Australia 4-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D pada Selasa.

Bagaimanapun rekod dua perlawanan terakhir Denmark bertemu Perancis sebelum ini di Liga Negara-Negara UEFA pada tahun ini berpihak kepada pasukan Scandinavia itu, apabila Denmark menang 2-1 ketika bertandang ke Paris pada Julai, dan mengulangi prestasi sama ketika melayan kunjungan Pe­rancis di Copenhagen September lalu dengan kemenangan 2-1.

Tidak seperti Perancis yang berdepan senarai panjang pemain yang menghadapi kecede­raan, Denmark pula terpaksa melupakan khidmat Thomas Delaney yang mengalami kecederaan lutut, namun posisi itu bakal diisi oleh penyerang Brentford, Mikkel Damsgaard.

Dalam masa yang sama, Denmark masih berdepan dengan isu luar padang apabila pengerusi Persatuan Bola Sepak Denmark (DBU), Jesper Molller mengancam untuk keluar daripada Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan kontroversi larangan pemakaian lilitan lengan One Love yang mempromosi budaya songsang.

Moller kini berusaha untuk meyakinkan delegasi Eropah yang lain untuk tidak mengundi Presiden FIFA sedia ada, Gianni Infantino untuk pemilihan presiden penggal baru.

“Akan ada pemilihan presiden baru dalam FIFA, dan ketika ini ada 211 negara dalam badan induk ini, saya faham pre­­siden sedia ada mempunyai sokongan dari 207 buah negara, tetapi Denmark bukan salah sebuah negara tersebut.

“Keputusan keluar dari FIFA masih belum muktamad, kami sedang membincangkan perkara ini,” jelas Moller. – Agensi/UTUSAN

The post Denmark dalam situasi terdesak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *