SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan perlu membincangkan kedudukan jawatan Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang didakwa telah melakukan kesalahan Aturan Adat Luak tersebut.

Ketua Talian Adat, Datuk Lembaga Delapan yang asal, Mat Tarmizi Selamat mendakwa, sejak Maarof menyandang jawatan berkenaan, beliau dikatakan telah melakukan 19 kesalahan Aturan Adat.

Sehubungan itu perkara tersebut perlu dibincangkan dan tindakan melucutkan jawatan perlu diambil terhadap Maarof.

Jelasnya, kesemua kesalahan itu telah didokumentasikan dan dimajukan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan termasuk kepada pihak Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Peristiwa pelucutan ini adalah merujuk kepada Bab 5 Perkara 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan. Ini juga termaktub di dalam Bab 6 Perkara 16 (1) dan Perkara 16 (3)  Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan Darul Khusus.

“Senarai kesalahan-kesalahan adat itu telah didokumentasikan dan dimajukan kepada Tuanku Mukriz sebagai Pengerusi bagi Majlis Persidangan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar Dato’-Dato’ Lembaga Delapan, Dato’-Dato’ Lembaga Orang-Orang Besar Undang Jelebu Yang Asal, Luak Jelebu, di sini hari ini.

Mat Tarmizi berkata, perkara tersebut perlu dijadikan sebagai agenda mesyuarat serta dimuktamadkan di dalam persidangan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

“Dokumentasi tersebut juga telah dimajukan untuk pengetahuan dan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun,”tambahnya. – UTUSAN

The post Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan perlu bincang kedudukan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *