REDUP matanya bercerita, seiring dengan isi hati yang dicurahkan. Sesekali suara serak kedengaran di hujung tekak. Dia cuba menyimpan dalam emosi. Mungkin malu atau takut untuk berbicara.
Aina Abdul, nama yang barangkali boleh dianggap cukup gah di persada seni. Harum bakat seninya mewangi, bukan kerana kontroversi atau gimik murahan. Sebaliknya, kejayaan dicipta bermula dengan satu angan-angan.
Jika dihitung, dia baru empat tahun merasai sepak terajang dunia seni. Namun hakikatnya, dia sudah bermula lama. Cuma ketika itu, dia bukan sesiapa. Bukan bintang seni yang kita kenal hari ini.
“Saya pernah merasai menyanyi 20 lagu satu malam dengan bayaran hanya RM50. Bukan makan seorang, kena bahagi dengan lima pemuzik. Menyanyi tiga malam tanpa ada sesiapa di hadapan.
“Pengorbanan saya? Menanam dalam rasa penat dan kecewa. Saya teruskan. Ada orang atau tidak, berbayar atau percuma, kerjaya seni saya perlu terus hidup. Saya pegang satu prinsip, menyanyilah seperti ini adalah persembahan terakhir saya.
“Mungkin sebab itu orang melihat saya seperti karang, tegar walaupun dibadai ombak. Saya sudah telan pahit industri seni. Tetapi kini, saya merasai manisnya pengorbanan itu,” katanya.
Lantas apa yang menjadikan jiwanya setegar itu? Dia seperti kebal, tidak berganjak walaupun dihunus tajamnya cercaan warganet dan mereka yang cemburu dengan kejayaan demi kejayaannya.
“Pemikiran saya dulu dan sekarang sangat berbeza. Dulu saya takut, terlalu mengikut suruhan orang, Tidak berani membantah. Orang cakap A, saya ikut A. Tidak ada tidak. I’m a yes girl.
“Saya bukan jenis pemarah. Saya pilih berdiam diri tetapi lama-kelamaan, diam itu menikam dan memakan jiwa. Saya hilang jati diri. Sudah tidak ada hala tuju dan identiti sendiri. Semuanya mengikut acuan orang.
“Tetapi, sekarang saya tanya diri sendiri. Jika ada yang bercanggah dengan prinsip, saya tidak takut untuk mengatakan tidak. Lama kelamaan saya sedar, menjadi diri sendiri adalah perisai terbaik,” ujarnya.

Jerayawara Aina Abdul 3.0

Teruja berkongsi perkembangan seni, bakat yang diperkenalkan menerusi Mentor Legend ini berbangga dengan pencapaian single terkininya, Terus Hidup yang semakin menda

pat perhatian dengan jumlah tontonan hampir satu juta di YouTube.
“Terus Hidup adalah sebuah karya yang cukup dekat dengan saya. Melodi dan liriknya mencerminkan jalan hidup yang saya tempuh. Impian saya mahu melihat Terus Hidup menyinar di pentas AJL.
“Bila melihat sambutan peminat, tidak sia-sia saya ke Bali untuk merakam video muzik lagu itu. Satu pencapaian cukup membanggakan. Empat tahun dalam industri, kini saya boleh mula tersenyum,” ujarnya.
Berkongsi berita gembira apabila rakaman Konsert Aina Abdul 2.0 boleh ditonton di Astro First bermula 20 Oktober ini, penyanyi Sepi ini sebenarnya tidak sabar untuk memulakan siri jelajah konsertnya, tahun depan.
“Kita sudah merancang untuk mengadakan siri jelajah Aina Abdul 3.0 di beberapa lokasi pilihan seluruh negara. Impian itu sudah lama saya simpan. Kertas kerja semua sudah ada, cuma tunggu penaja.
“Memang ramai yang kecewa apabila tidak dapat menyaksikan Aina Abdul 2.0. Jadi, sebelum kita meraikan warna muzik di konsert jelajah kelak, tonton dahulu rakaman Aina Abdul 2.0 di Astro First,” kongsi penyanyi Nada Kalbu itu.

Menanam malu, menepis kesombongan

Pada tangga usia 28 tahun, penyanyi Semalam ini mengakui, kejayaan dan populariti lambat memeluknya. Malah, dia juga tidak menafikan raut wajah yang dikatakan sombong menjadi batu penghalang.
“Saya sering dilabel sombong. Itu adalah penghalang utama untuk orang kenali saya. Jujurnya, saya ini jenis lambat panas. Jadi, ada yang cakap saya sombong, muka ketat pada hal tidak sama sekali,” katanya.
Tatkala dia melontarkan kata-kata, saya teringat suatu ketika dahulu saya juga pernah berprasangka begitu. Dia kelihatan begitu ‘mega’. Gaya dan dandanan menjadikan dia berada pada tahap berbeza.
Hakikatnya, di sebalik semua itu, dia seorang gadis yang penuh keceriaan. Sesekali gelak tawa menghiasi sesi temu bual kami. Daripada seorang yang reserved, dia mula selesa berkongsi cerita.
“Saya sangat pemalu. Terlalu merendahkan diri. Tetapi saya fikir, sampai bila hendak bersifat begini. Kalau saya benarkan malu menguasai diri, sampai bila-bila kerjaya seni akan terpuruk di tepi.
“Jadi, bila Sumpah berpeluang ke Carta Muzik Muzik ke-34, saya ketepikan rasa malu. Tidak kisahlah ada yang cakap saya terdesak, tetapi itu adalah langkah pertama untuk membuktikan bakat dan kemampuan.“Daripada lima orang peminat, kini saya bersyukur dengan adanya keluarga Ainations. Tidak ramai tetapi cukup menyenangkan. Saya tidak menyangka, Aina Abdul akan ada kelab peminatnya,” ceritanya.
Kini, paginya bermula dengan senyuman. Kebahagiaan yang sudah lama diimpikan. Apatah lagi, dia selesa mendaki puncak populariti. Walaupun dibayangi kecaman dek keunikan fesyen, dia senang begini.
“Sekarang, saya seronok pergi kerja. Saya memiliki pasukan yang cukup hebat. Mereka tiada ganti. Susah senang bersama. Kami sama-sama hadap kecaman dan pujian. Sama-sama merasakan pahit dan manisnya.
“Malah, pengurus saya juga selalu melindungi dan menjadi perisai serangan kata-kata nista segelintir warganet. Dia terlebih dahulu hadam sebelum saya membacanya. Tetapi jujur, tiada apa yang boleh melukakan saya lagi.
“Aina Abdul dan seni fesyen tidak dapat dipisahkan. Saya tidak akan sia-siakan peluang itu. Nak cakap pelik, jelik pun tidak mengapa. Mungkin itulah branding saya,” jelas pemegang trofi Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36. – Mingguan Malaysia

The post Diam saya menikam, memakan jiwa sendiri… appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *