KLANG: Seorang lelaki dicekup selepas tertidur ketika memecah masuk dan mahu mencuri di sebuah kedai makan di sekitar Johan Setia di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu disedari pemilik premis yang melihat suspek berusia 23 tahun terbaring disyaki akibat dos dadah berlebihan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima laporan mengenai perkara itu pada hari sama.

Kata beliau, peniaga itu memaklumkan lelaki tempatan berkenaan memasuki kedai menerusi pintu belakang yang telah diumpil.

“Bertindak atas maklumat itu, polis menahan suspek yang cedera dipercayai telah dipukul orang awam di lokasi kejadian.

“Suspek telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Hoong Fong, semakan mendapati suspek memiliki pelbagai rekod
lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek memasuk kedai itu dengan niat untuk mencuri namun tertidur kerana terlebih dos dadah yang diambil sebelum kejadian.

“Pemeriksaan mendapati tiada barangan di dalam premis itu dilaporkan hilang,” ujarnya.

Tambah beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk premis dan mahu mencuri. –UTUSAN

The post Dicekup tertidur ketika mencuri, pecah masuk kedai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *