BAGAN SERAI: Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali tidak berkasa malu apabila ada yang menggelarkan beliau dengan panggilan ‘YB Pampers’.

Katanya, gelaran itu disebabkan beliau kerap memberi sumbangan lampin pakai buang atau pampers kepada penduduk di kawasan ini yang menghidap penyakit dan memerlukannya.

Beliau berkata, ada parti  lawan yang menggelar beliau dengan panggilan itu tetapi menjejaskan semangatnya untuk berusaha menang di DUN Alor Pongsu.

“Saya sikit pun tidak berasa malu dengan panggilan itu kerana ini jelas menunjukkan selama ini saya sering membantu golongan susah yang amat memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PN di Matang Gerdu, di sini.

Yang hadir sama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Kesihatan,  Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Noor Azman berkata, tiada apa yang hendak dimalukan dengan gelaran itu sebaliknya bangga kerana dapat membantu orang susah.

“Bagi mereka yang bekerja, pampers berharga RM18 hingga RM20 itu mungkin kecil nilainya tapi bagi orang susah, harga itu mahal.

“Sebenarnya kita menerima sumbangan satu treler pampers dan kebetulan di Bagan Serai ramai yang terlantar dan sakit, jadi kita beri sumbangan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Katanya, usahanya membantu rakyat di Bagan Serai tetap akan diteruskan walaupun dilabel dengan gelaran begitu.

“Buat apa nak malu, benda elok, lebih bagus dari pihak yang mengata macam-macam dan mereka sendiri pun tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

The post Digelar ‘YB Pampers’, apa nak malu – Calon PN Alor Pongsu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *