BUKIT MERTAJAM: Sebanyak lima notis atas pelbagai kesalahan dengan tawaran kompaun keseluruhan berjumlah RM10,250 dikeluarkan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam operasi penguatkuasaan di sini, kelmarin.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri berkata, Op Pelabelan sempena Deepavali itu melibatkan sembilan anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan di tiga buah premis perniagaan.

“Hasil operasi, dua notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan – Peraturan Makanan 1983 iaitu Peraturan 11(1)(j) kerana tidak menyatakan nama dan alamat pengimport di Malaysia dan kompaun sebanyak RM3,000 juga telah dikenakan bagi setiap notis.

“Turut dikesan di bawah peraturan yang sama ialah Peraturan 14(9)(b) iaitu menjual makanan luput tarikh yang juga membawa kepada kompaun sebanyak RM3,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada masa sama, dua lagi notis turut dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, notis itu ialah di bawah Peraturan 8A(5A) iaitu penjualan hasil tembakau yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan dua kes dengan nilai kompaun sebanyak RM500 bagi setiap satu.

“Sementara itu, satu lagi notis di bawah Peraturan 11(1)(e) iaitu merokok di kawasan larangan merokok (hentian bas) yang melibatkan kompaun sebanyak RM250,” katanya yang menambah, jumlah rampasan keseluruhan dalam operasi itu ialah sebanyak RM5,052. 

Tambah kenyataan itu, menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan memastikan premis makanan mereka berada dalam keadaan bersih setiap masa dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. – UTUSAN

The post Dikompaun RM10,250 langgar akta berkaitan makanan, kawalan tembakau appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *