SHAH ALAM: Impian Dina Nadzir dan Fuad Rahman untuk beraksi di pentas akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) musnah apabila perjalanan mereka terhenti pada persaingan separuh akhir, malam tadi.

Hanya selangkah menuju ke pentas akhir, Dina yang membawakan lagu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika terpaksa berpuas hati berkongsi kedudukan tercorot dengan Fuad yang menyanyikan lagu Di Alam Fana Cintamu.

Minggu separuh akhir bertemakan Separuh Aku, Ada Kamu menuntut peserta melunaskan dua tugasan iaitu persembahan solo
dan duet dengan rakan artis.

Bagi tugasan kedua, Dina berduet dengan Fuad Rahman menerusi lagu Boneka nyanyian asal Ernie Zakri, namun gagal memikat hati juri.

Seramai lapan peserta berentap pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, tetapi hanya enam terpilih mara ke peringkat akhir, Ahad depan.

Peserta yang mara ke final GV9 adalah
Jaclyn Victor yang melangkah selesa pada kedudukan pertama diikuti Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan VE.

Jaclyn turut membawa pulang Anugerah Bintang Memukau Adabi dan menerima wang tunai RM1,000 serta barangan Adabi bernilai RM500.

Terdahulu, Anugerah Next Level Digi dimenangi Dina, manakala Shila pula terpilih menerima Bintang Cuckoo Paling Gempak.

GV9 yang mula bersiaran 18 September lalu menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.

Selain Hetty Koes Endang, pertandingan itu turut diadili Datuk Ramli MS sebagai Ketua Juri dan Datuk Syafinaz Selamat.

Konsert akhir GV9 yang mengangkat tema Kemanisan Di Akhir Garisan menyaksikan peserta bersaing merebut wang tunai RM100,000 sebagai juara, diikuti RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 bagi tempat ketiga.

The post Dina Nadzir, Fuad Rahman gagal mara ke final GV9 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *