PADANG TERAP: Pemimpin parti yang bertanding atas tiket parti lawan sebelum ini membuktikan dinamik politik tanah air sudah berlaku dengan pengesahan beberapa calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku, keputusan drastik telah dibuat oleh individu terlibat.

Katanya, dalam hal tersebut mereka tidak mempedulikan lagi soal keahlian parti diwakili meskipun mengikut perlembagaan UMNO sendiri, keahlian akan terlucut secara automatik sekiranya bertanding atas tiket lain.

“Keahlian bukan perkara utama, semua orang pun saya tengok sudah jadi keluarga 69 yang sebelah sana macam itu dan yang sebelah sini pun macam ini.

“Saya ingat zaman sudah berubah, betul lah orang kata politik itu dinamik, dinamik sungguh kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama guru-guru KAFA dan jawatankuasa masjid daerah Padang Terap, di sini hari ini.

Semalam, penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim disahkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu pada PRU15 manakala Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib dipilih sebagai calon Pas bertanding di Parlimen Maran selepas nama mereka digugurkan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, BN turut menyenaraikan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu setelah beliau tidak disenaraikan oleh PN.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga calon BN bagi kerusi Padang Terap berkata, walaupun dalam politik mereka yang tidak disenaraikan parti perlu berjiwa besar untuk memberi laluan, tidak semua perkara berlaku mengikut kemahuan. – UTUSAN

The post Dinamik politik sudah berlaku appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *