MELAKA: Padah meraba kanak-kanak bawah umur berusia 12 tahun yang juga anak jirannya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 48 tahun yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah di Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah, pada 2 Oktober 2022. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan.

Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor usia mangsa. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan empat tahun penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada 9 Oktober 2022. – UTUSAN

The post Dipenjara empat tahun raba anak jiran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *