KUALA LUMPUR: Ketika rakyat Malaysia sedang bersiap sedia melunaskan tanggungjawab terhadap negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), komposer, DJ Fuzz dan penyanyi rap terkenal, Waris menyemarakkan semangat perpaduan dengan menghasilkan lagu Ini Negara Kita, Keluarga Kita.

Menurut DJ Fuzz yang juga anak kepada penyampai berita RTM, Allahyarham Farit Ismeth Amir, dia mendapat ilham untuk menghasilkan lagu itu daripada semangat dan semarak patriotik seluruh rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga.

“Lagu saya hasilkan dengan Waris bukan idea sesiapa atau mengambil cetusan untuk melobi, membodek atau mengampu mana-mana pemimpin dalam negara.

“Sesiapa sahaja mungkin boleh ‘claim’, tetapi apa yang lebih utama hayati inti pati dan isi kandungan lagu ini.

“Lagu ini dicipta bukan untuk mana-mana parti politik, sebaliknya saya hasilkan untuk aspirasi kita semua sebagai sebuah keluarga Malaysia. Itu sahaja,” katanya.

Selain itu, kata DJ Fuzz lagi, lagu berkenaan juga secara tidak langsung menyaksikan kerjasamanya kembali dengan Waris menerusi lebih 100 karya telah dihasilkan.

Bagaimanapun, dalam konteks lagu berbentuk patriotik, kata DJ Fuzz, ini merupakan kerjasama pertama bersama penyanyi rap kelahiran Negeri Sembilan itu menghasilkan sentuhan sedemikian.

“Sebenarnya saya hilang perkiraaan berapa kali sudah bekerjasama dengan Waris. Rasa-rasanya lebih 100 kali.

“Kami mula bekerjasama sejak 2012. Waris sangat kreatif dan berbakat besar. Saya senang bekerjasama dengannya,” katanya.

Malah, kata DJ Fuzz, karya bergenre pop itu sebenarnya bersifat universal dan boleh diklasifikasikan sebagai lagu motivasi buat peminat dan pendengar.

“Ia sebenarnya lebih cenderung kepada lagu motivasi yang boleh menyemarakkan semangat pendengar mahupun rakyat. Biarpun berbeza ideologi, saya cuma mahu ingatkan kita semua sebenarnya berada di dalam satu keluarga besar.

“Pada hemat saya, Keluarga Malaysia bukan sekadar gagasan kerajaan, tetapi ia adalah gaya hidup. Keluarga Malaysia sudah melepasi batas sempadan ideologi politik. Ia bukan hak milik mana-mana parti politik.

“Tidak usahlah kita semua berbalah disebabkan perbezaan fahaman politik. Hakikatnya, kita semua berteduh dan mencari rezeki di bawah satu bumbung, Malaysia. Apapun, saya ucapkan selamat mengundi buat semua!” katanya.

The post DJ Fuzz, Waris suntik aspirasi patriotik melalui lagu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *