KUALA KANGSAR: Restu dan doa ibu mengiringi kejayaan Penerima Anugerah Tuanku Canselor, Wan Afiq Wan Aris Fathillah pada Istiadat  Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-15 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Wan Afiq, 24, Ahli  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berkata, sokongan dan dorongan ibunya, Azizah Azizi, 63, menjadi pembakar semangat untuk dia mencapai kejayaan dalam pelajaran. 

“Dalam keadaan apa sekali pun, saya akan mohon keberkatan doa dari ibu kerana nalurinya memainkan peranan dan Alhamdulillah, berkat usaha yang saya lakukan diredai Allah,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen ke-15 USAS, di sini hari ini. 

Wan Afiq merupakan cucu kepada Menteri Besar Perak ketujuh, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh.

Dia kematian bapanya, Wan Aris Fathillah Wan Mohamad secara mengejut ketika berusia 15 tahun memberi impak yang besar dalam hidupnya. 

“Ketika itu, lebih kurang dua minggu saya bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Perasaan ketika itu sememangnya sangat sedih dan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan saya namun berkat doa ibu saya berjaya,” katanya.

Anak bongsu dari empat beradik ini berkata, selain ibunya, dua abang dan seorang kakaknya menjadi tulang belakang keluarga setelah ketiadaan bapa mereka. 

Menurutnya, ibunya seorang suri rumah dan kakak serta abang-abang yang menampung segala perbelanjaan pengajian saya di sini, termasuklah yuran setiap semester.

Katanya, keputusan Diploma dengan nilai PNGK 3.13 membakar semangatnya untuk terus berusaha bersungguh dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian. 

“Keputusan diploma itu kerana saya tidak dapat bahagikan masa cuma kita sebagai pelajar perlu belajar dan jangan jadikan tiada masa sebagai alasan untuk tidak mengulangkaji pelajaran.

“Masa itu ada,  jangan jadikan itu sebagai alasan, kita ada 24 jam, mungkin lapan jam untuk tidur selebihnya, kita ada masa. Manfaatkanlah masa itu sepenuhnya,” katanya. 

Wan Afiq berkata, dengan mengambil masa dua hingga tiga jam sehari mengulang kaji pelajaran secara konsisten merupakan antara faktor memperoleh PNGK 3.75 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Dengan Kepujian. 

Katanya, waktu terbaik untuk belajar adalah selepas subuh dan dalam masa seminggu terutamanya minggu menjelang peperiksaan, dia akan belajar selepas subuh.

“Selain pembahagian masa, doa ibu bapa sangat penting. Penglibatan aktiviti luar juga penting. Sertailah apa-apa organisasi untuk meningkatkan pengalaman diri,” katanya. 

Kini, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Unit Komunikasi Strategi Negeri Perak dan berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama. – UTUSAN

The post Doa ibu iringi kejayaan Wan Afiq terima Anugerah Tuanku Canselor USAS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *