KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Fauziah Nawi tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu ketika menerima hadiah kereta Mitsubishi Xpander, petang tadi.

Sebak dengan pengiktirafan yang diterima, Fauziah berkata, dia tidak menyangka doanya selama ini dimakbulkan Allah SWT.

“Sudah lama saya berharap untuk memiliki kenderaan sendiri selepas kereta saya terbakar, empat tahun lalu akibat kerosakan fius.

“Saya sangat berharap sehingga pernah menyertai cabutan bertuah dengan harapan menang kereta atau motosikal. Tetapi, rezeki saya tidak ada di situ.

“Rupanya Allah mahu beri saya sesuatu yang lebih besar. Saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kereta di EON Auto Mart, Jalan Ampang, di sini.

Fauziah pada penganjuran Anugerah Seri Angkasa 2022, 30 Oktober lalu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Razak Bahman berkata, mereka bersyukur kerana berpeluang membantu artis veteran yang banyak berjasa kepada industri seni tanah air.

“Saya tersentak apabila mendengar cerita Fauziah tiada kenderaan selepas keretanya terbakar, empat tahun lalu.

“Dengan  kereta ini, kami dapat membantu tokoh seni meneruskan tugasnya untuk terus memajukan industri seni tanah air,” katanya.

The post Doa termakbul, Fauziah Nawi terima kereta baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *