KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda, meminta agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi berhubung keadaan sahabat baiknya, Nad Zainal, yang kini masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut pelakon berusia 37 tahun itu, adalah lebih baik orang ramai mendoakan dan menghormati situasi serta perasaan keluarga yang sedang melalui keadaan sukar.

“Benda macam ini, kita boleh fikir sendiri. Dalam keadaan Nad begini, jangan timbulkan spekulasi yang boleh membawa kepada unsur fitnah.

“Saya sendiri tidak suka baca atau dengar benda yang tidak betul. Saya tahu ramai sahaja yang nak bercakap, mungkin mereka mengambil berat tetapi harapnya jangan sampai timbul fitnah. Adalah lebih baik kita semua mendoakan dia segera sihat,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Viu Upfront 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ( KLCC), di sini, semalam.

Berkongsi keadaan terkini Nad, kata Nabila, dia dan rakan artis yang lain termasuk Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Nadiah Aqilah sempat memberikan kata-kata semangat ketika melawat pelakon itu di hospital pada Rabu lalu.

“Melihat keadaannya yang terlantar, kami hanya mampu berikan kata-kata semangat buat Nad. Ketika itu, paras oksigen Nad memang rendah.

“Saya bisik ke telinganya, ‘You can do this Nanad, keep on breathing…’ dan sebelum kami balik, tahap oksigennya sudah meningkat.

“Kami elak untuk bersedih atau tunjuk sedih depan dia. Kalau boleh tidak mahu langsung sebab dia perlukan kata semangat. Saya rasa dia mendengar,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila terharu melihat sokongan dan solidariti rakan-rakan artis serta pelbagai pihak yang turut sama mendoakan semoga Nad segera sembuh.

“Bila saya sampai hospital, terharu tengok rakan-rakan artis yang sanggup bersengkang mata menunggu Nad.

“Saya terharu bila ramai peminat dan mereka yang mengenali Nad mendoakan sahabat saya itu,” katanya.

Isnin lalu, Nad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan pelakon itu dilaporkan mula menunjukkan perkembangan positif dan perlu menjalani rawatan buah pinggang disebabkan organ berkenaan sedikit terjejas.

The post Doakan Nad Zainal, usah buat spekulasi – Nabila Huda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *