MELAKA: Mahkamah Majistret di sini membenarkan perintah tahanan reman tiga hari bermula hari ini terhadap seorang wanita bergelar Datuk dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung dokumen palsu.

Mereka dipercayai mengemukakan dokumen palsu Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Perintah reman sehingga 21 Oktober itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd. Noor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.16 pagi menaiki kenderaan berasingan.

Jurucakap SPRM berkata, suspek pertama yang merupakan penjawat awam ditahan pukul 8 malam tadi diikuti suspek kedua seorang pengurus sebuah syarikat pelancongan kira-kira 15 minit kemudian. 

Katanya, kedua-dua suspek ditahan selepas selesai memberi keterangan di Pejabat SPRM di Alai di sini, malam tadi. 

Menurutnya, suspek ditahan selepas dipercayai mengemukakan satu dokumen yang mengandungi butir matan palsu iaitu Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka. 

Dokumen itu adalah bagi mendaftarkan dirinya sebagai ahli majlis tersebut.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – UTUSAN

 

The post Dokumen palsu: Pengurus syarikat pelancongan direman SPRM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *