KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencatat kejayaan berganda apabila program dokumentari, Syahadah terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM mengungguli Filem Dokumentari Pendek Terbaik pada Festival Filem Dunia Cannes (CWFF), Isnin lalu.

Episod sama dokumentari itu bertajuk Hijrah Muhibah (Migration Goodwill Malaysia), sebelum ini dinobatkan sebagai pemenang kategori Dokumentari Pendek Kali Pertama Terbaik pada Anugerah Antarabangsa Dokumentari Pendek Bangkok (BKK Short Doc), 30 November lalu.

Penerbit program, Azry Ahmad Mustafa Hadi berkata, dua kejayaan besar pada peringkat antarabangsa itu menjadi aspirasi penggerak kepada RTM dalam menjana peluang menghasilkan bahan bertaraf dunia.

“Kami gembira apabila produk tempatan ini diangkat di peringkat dunia,” katanya dalam suatu kenyataan.

Dokumentari itu menjalani penggambaran bermula 14 hingga 17 Februari lalu selama empat hari di sekitar Lutong, Miri, Sarawak.

Ia merakamkan realiti yang dilalui masyarakat beragama Islam dan Kristian di Lutong yang mengamalkan semangat muhibah.

Azry berkata, dokumentari itu memaparkan penghijrahan guru agama, Mohd. Zulkifli Mohd. Adnan dari Terengganu ke Lutong atas nasihat guru agama dan ibu bapanya.

Bagaimanapun, penghijrahan sementara itu bertukar apabila dia menjadi pemastautin tetap setelah melalui pengalaman menjalani kehidupan muhibah di situ.

“Semangat muhibah masyarakat di Lutong menambat hati Mohd. Zulkifli untuk terus tinggal dan menyumbang tenaga bagi pendidikan agama. Hijrah Muhibah benar-benar terjadi kepada dirinya.

“Kehadiran beliau amat disenangi oleh warga Miri yang mengamalkan semangat keharmonian dan toleransi antara agama yang baik,” katanya.

RTM akan menayangkan semula Hijrah Muhibbah di TV1 mulai jam 10.30 malam ini. Program itu juga boleh ditonton menerusi TV Okey pada jam 4.30 petang, Ahad ini.

The post Dokumentari Syahadah raih pengiktirafan di Cannes appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *