MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mencabar Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘keluar’ dari kerusi Parlimen Muar disandangnya dan bertanding di Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Cabaran itu dikemukakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan tuduhan dibuat Syed Saddiq berkenaan kekecohan yang berlaku ketika sesi ceramah di Muar, Johor baru-baru ini.

Muhamad Akmal berkata, Parlimen Jasin boleh dianggap kerusi neutral memandangkan Barisan Nasional (BN) hanya menang dengan majoriti 219 undian dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

“Saya menyeru dan mengajak Syed Saddiq untuk bertanding di Parlimen Jasin. Kerana apa? Parlimen Jasin ini pada PRU14 BN hanya menang majoriti 219 undian sahaja, tiga penjuru.

“Maka, ini adalah satu pentas yang kita panggil neutral, yang boleh dimenangi oleh sesiapa pun dengan tambahan undi automatik. Undi18 di Parlimen Jasin adalah sebanyak hampir 23,000 orang. Dan Jasin dan Muar ini hanya bersebelahan.

“Saya cabar Syed Saddiq kalau benar ‘jantan’ kita buktikan melalui pilihan raya, kita buktikan melalui undi dalam pilihan raya. Jika benar agenda perubahan Syed Saddiq ini diterima maka dia boleh menang pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. 

Terdahulu, akhbar melaporkan, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Syed Saddiq, bahawa pihaknya terbabit mengganggu ceramah dihadiri bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif berkata, Syed Saddiq mendakwa Pemuda UMNO membuat provokasi dan gangguan ketika Ceramah Mega Muar Muda yang berlangsung Ahad lalu.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menambah, tuduhan sedemikian dilihat sebagai taktik kotor yang ingin memberikan gambaran buruk terhadap UMNO kepada pengundi memandangkan PRU15 semakin hampir. 

“Sebagai seorang yang terlalu kerap mencanangkan perubahan dan pembaharuan politik, Syed Saddiq sepatutnya lebih berhemah dan sopan, sekiranya ingin membuat sebarang kenyataan. Apatah lagi tuduhan seperti yang dilemparkan kepada Pemuda UMNO.

“Kempen memburukkan serta menyebarkan kebencian terhadap lawan yang dilakukan beliau juga, partinya dilihat semakin melampau dan ini mampu menggugat ketenteraman juga keharmonian hidup rakyat negara ini,” tegasnya. –UTUSAN

The post Dr. Akmal cabar Syed Saddiq bertanding di Jasin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *