PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli percaya calon Pakatan Harapan (PH) P125 Putrajaya, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz mampu membuat kejutan pada Sabtu ini.

Rafizi yang juga calon Parlimen Pandan berkata, PH di Putrajaya mungkin dianggap ‘underdog’ dalam kalangan gergasi parti politik lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, katanya, demografi penduduk di Putrajaya sebenarnya tidak banyak beza dengan kawasan Parlimen lain di sekitar Lembah Klang dan PH sangat diterima baik pengundi Melayu mahupun bukan Melayu.

“Kita tahu di Putrajaya lebih 90 peratus adalah pengundi Melayu, malah sokongan mereka terhadap BN, PN dan PH dilihat sama rata.

“Jika tanya saya, walaupun PH di Putrajaya dianggap underdog, namun peluang itu baik dan boleh buat kejutan,” katanya ketika ditemui selepas hadir bersama Dr. Noraishah pada majlis makan tengah hari sempena program mengumpul dana di sini, hari ini.

Katanya, beliau melihat sentimen dan kematangan politik pengundi di Putrajaya ini berbeza dengan luar bandar di mana pengundinya lebih suka melihat kandungan kempen di media sosial.

Rafizi berkata, biarpun Noraishah baru sahaja berkempen di Putrajaya, namun ia dapat diimbangi menerusi daya dan tarikan kempen PH di peringkat nasional.

“Namun, saya tidak pasti ia mencukupi selepas mengambil kira Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) yang sudah lama di sini dan keberadaan Datuk Dr. Radzi Jidin sejak beberapa tahun lalu.

“Selalunya, faktor paling besar untuk  menang pilihan raya adalah naratif kempen kebangsaan selain olahan kempen, tawaran dan tarikan pengundi kepada kempen nasional itu,” katanya. – UTUSAN

The post Dr. Noraishah mampu buat kejutan Sabtu ini – Rafizi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *