KUANTAN: Polis menahan dua kakitangan kerajaan negeri dipercayai menyalahgunakan nombor pekerja bagi mengubahsuai maklumat dan memasukkan senarai nama individu yang ditawarkan gelaran datuk dan datuk seri tidak sah.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan dua lelaki itu hasil dari laporan dibuat seorang kakitangan kerajaan negeri yang curiga dengan senarai nama diperoleh.

Katanya, kejadian terbabit dipercayai berlaku bermula 12 Oktober tahun lalu yang mana pengadu dimaklumkan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang sudah menerima panggilan telefon dari kakitangan Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, bertanya berkaitan nama seorang lelaki berbangsa India yang hendak memasukkan namanya dalam sistem rekod pingat dan darjah kebesaran Jabatan Perdana Menteri.

“Kejadian berlaku pada pukul 10 pagi yang mana pengadu kemudiannya membuat semakan dan mendapati nama lelaki India tersebut ada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tetapi apabila semakan dibuat dalam senarai induk di pejabat Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, pengadu mendapati nama individu itu tiada dalam senarai induk.

“Curiga dengan situasi terbabit menyebabkan pengadu mengambil tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Ramli berkata, pengadu juga kemudiannya dikatakan sudah meminta kakitangan SUK Pahang membuat semakan semula dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri ini bagi mendapatkan maklumat tentang kemasukan data individu yang tidak sah dan tidak sepatutnya berada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang.

“Setelah semakan dibuat, pengadu mendapati terdapat 29 nama individu yang mana nama serta butiran peribadi individu tersebut sudah dimasukkan ke dalam sistem tersebut bagi tujuan menerima darjah kebesaran negeri Pahang membawa gelaran datuk dan datuk seri.

“Pengadu kemudiannya membuat membuat laporan polis dan siasatan dijalankan dan kes pada peringkat awal diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 sekali gus membawa kepada tangkapan dua kakitangan kerajaan negeri terbabit,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati bahawa subjek pertama yang berusia 36 tahun bekerja sebagai pembantu operasi dan subjek kedua yang berusia 30 tahun bekerja sebagai pembantu tadbir di pejabat yang sama tetapi secara kontrak di Pejabat SUK Pahang.

“Siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua subjek menyalahgunakan nombor pekerja mereka untuk akses ke dalam laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang dan membuat pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri.

“Siasatan mendapati bahawa subjek pertama memasukkan nama seramai 26 individu yang tidak sepatutnya dimasukkan dan tidak disenaraikan sebagai individu yang akan menerima apa-apa jenis anugerah daripada Sultan Pahang dan subjek kedua memasukkan nama tiga individu bagi tujuan sama,” katanya.

Ramli juga memberitahu, kesemua 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang disenaraikan secara tidak sah itu juga sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes sudah dirujuk ke kamar peguam negara Putrajaya, Kuala Lumpur dan arahan telah diterima adalah untuk menuduh kedua subjek di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta yang sama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan, esok.

Bercerita lanjut, Ramli memberitahu, pihak polis mendapati kegiatan menawarkan gelaran datuk dan datuk seri berkenaan berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang mana bayaran sekitar RM80,000 sehingga RM150,000 ditetapkan bagi individu yang mahu mendapatkan gelaran terbabit.

Beliau justeru itu mengingatkan orang ramai terutama mereka yang ditawarkan sesuatu gelaran untuk mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Terima kasih kepada pengadu kerana telah bertindak sewajarnya. Penerimaan gelaran ini tidak mudah dan semuanya bersistem serta diperhalusi. Tiada pengaturan sedemikian oleh mana-mana pihak sama ada dari kerajaan negeri mahupun istana,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan lambang yang tidak diwartakan bagi menunjukkan pingat yang diterima.

“Jangan beranggapan boleh pakai sewenangnya lambang yang menunjukkan anugerah, pingat dan sebagainya tanpa kebenaran khusus. Ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 31 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 yang membawa kepada hukuman di bawah Seksyen 5, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

The post Dua kakitangan SUK Pahang ditahan ubahsuai maklumat penerima datuk, datuk seri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *