COX’S BAZAR: Dua ketua masyarakat Rohingya di Bangladesh maut akibat ditetak sekumpulan perusuh, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung tahap keselamatan di kem menempatkan hampir sejuta pelarian itu.

Bangladesh menempatkan pelarian Rohingya di kem yang luas dan padat sejak mereka melarikan diri daripada tindakan tentera di Myanmar pada 2017, yang kini menjadi subjek siasatan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penempatan itu menyaksikan peningkatan keganasan sejak beberapa bulan lalu, dengan kemunculan sejumlah kumpulan kongsi gelap yang cuba memperluaskan kawalan dalam pengedaran dadah dan menakutkan kepimpinan awam pelarian melalui pembunuhan dan penculikan.

Jurucakap polis, Faruk Ahmed, berkata dua ketua kem Rohingya terbunuh di Kem 13 kelmarin, dalam antara serangan terburuk sejak beberapa bulan lalu.

“Puluhan pelarian Rohingya menetak Maulvi Mohammad Yunus, 38, yang juga Ketua Majhi Kem 13. Mereka turut membunuh Mohammad Anwar, 38, seorang lagi majhi. Yunus maut di lokasi manakala Anwar di hospital,” katanya.

‘Majhi’ adalah istilah untuk ketua kem Rohingya.

Pegawai kanan unit polis elit yang ditugaskan bagi keselamatan di kem itu menyalahkan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), kumpulan pemberontak yang memerangi tentera di Myanmar, sebagai dalang pembunuhan itu.

“Ini adalah pembunuhan yang dirancang ARSA, pertempuran dalaman di Myanmar memberi kesan kepada keadaan keselamatan di kem,” ujar Faruk. – AFP

The post Dua ketua pelarian Rohingya maut ditetak di Bangladesh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *