SEREMBAN: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 279.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Nilai di sini malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 11.30 malam melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori.

Menurut beliau lagi, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipandu seorang lelaki berumur awal 60-an dari arah Senawang di sini menuju ke Puchong, Selangor.

“Sampai di tempat kejadian, lori telah mengalami kerosakan tayar pecah di bahagian kanan belakang dan telah berhenti di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segitiga.

“Ketika berada di lorong kecemasan itu, sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki berusia 18 tahun telah melanggar bahagian belakang kanan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sehubungan itu, pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Siti Syarah di talian 014-5144741.-UTUSAN.

 

The post Dua lelaki maut, motosikal dinaiki rempuh lori di lorong kecemasan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *