ALOR SETAR: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memiliki diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan, pada Sabtu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Korsem Kahong, 33, dan Tan Shu How, 35, membuat pengakuan itu di mahkamah berasingan iaitu masing-masing di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali dan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Bagaimanapun, kedua-dua hakim tidak menjatuhkan hukuman kepada tertuduh hari ini sementara menunggu laporan kimia dan sebutan semula kes yang ditetapkan pada 9 Mac depan.

Muhammad Korsem yang juga warga Thailand menghadapi pertuduhan memiliki barangan kawalan melebihi kuantiti yang dibenarkan iaitu 100 liter diesel di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung di Padang Terap pada pukul 5 petang, 4 Februari lalu.

Dia didakwa telah melanggar Peraturan 18, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 22(2) peraturan yang sama.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Sementara itu, Shu How yang juga seorang penjaga kebun menghadapi pertuduhan sama di lokasi dan pada waktu serta tarikh yang sama.

Dia turut didakwa melanggar Peraturan 18, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 22(2) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nor Farishah Mohammad Bahar, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Nizam Amir dan Muhamad Saiful Saaidin.

Shu How membayar jaminan tersebut, manakala Muhammad Korsem dihantar ke penjara kerana gagal membayar wang jaminan seperti ditetapkan. –UTUSAN

The post Dua lelaki mengaku bersalah miliki diesel lebih kuantiti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *