SELAYANG: Dua lelaki termasuk seorang warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki rakyat asing yang mayatnya dijumpai di tepi jalan, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu MD Mojibur Rahman, 30, yang merupakan warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan, K. Visvanathan, 57, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh seorang lelaki warganegara Bangladesh Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Batu Arang di sini, antara pukul 9 malam dan 9.40 malam, 29 Disember 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 5 April ini untuk sebutan kes.
Pada 30 Disember tahun lalu, media melaporkan satu mayat ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang di sini, dalam keadaan tangan dan kaki berikat.
Pihak polis memaklumkan, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tangan dan kaki telah diikat dengan tali selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala. – UTUSAN
The post Dua lelaki termasuk rakyat Bangladesh didakwa membunuh appeared first on Utusan Malaysia.