SEREMBAN: Dua lelaki warganegara Nepal maut dipercayai dibunuh oleh rakan senegaranya dalam kejadian di Pusat Komersial Oakland di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihak polis telah menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 6.25 petang tadi.

“Hasil daripada maklumat tersebut, pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan didapati terdapat dua orang lelaki dipercayai warganegara Nepal telah mati dan juga seorang lagi lelaki juga warganegara Nepal masih dalam keadaan normal.

“Keadaan mangsa terlentang dan berada berjauhan satu sama lain. Terdapat kecederaan di bahagian muka mangsa dipercayai ada kesan hentakan, polis juga menjumpai penukul dipercayai digunakan dalam kes ini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam ini.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa berusia 35 dan 46 tahun dan masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan serta tinggal berdekatan dengan tempat kejadian.

“Tempat kejadian dipercayai dijadikan sebagai kantin untuk mendapatkan makanan bagi pekerja-pekerja pengawal keselamatan. Salah seorang mangsa tinggal di sebelah tempat kejadian manakala salah seorang lagi tinggal di bangunan belakang,” katanya.

Jelas Nanda, seorang lelaki yang berada di tempat kejadian yang berusia 37 tahun telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan termasuk terdapat berapa orang yang berada dalam kejadian. Namun semasa polis sampai hanya terdapat tiga orang termasuk suspek yang turut dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya.-UTUSAN.

 

The post Dua pekerja asing warga Nepal mati dibunuh rakan senegara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *