PETALING JAYA: Dua pengarah kanan syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur.

Penahanan kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan petang ini di Ibu Pejabat SPRM.

Satu sumber mendedahkan, salah seorang daripada suspek tersebut ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara Kuala Lumpur.

“Aeorang lagi  adalah ahli perniagaan berjawatan pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

“Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia.

Beberapa saksi termasuk pegawai Kanan Telekom, Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat-syarikat terlibat telah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Kata sumber lagi, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau enggan mengulas lanjut dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan ini. – UTUSAN

The post Dua pengarah kanan syarikat jadi ‘orang tengah’ babit pengambilalihan Menara KL ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *