KOTA BHARU: Dua pengasas produk kosmetik dan tiga rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua mangsa yang juga peniaga pada Julai tahun lalu.

Kesemua tertuduh yang juga orang kena saman (OKS), Nur Farhana Ismail, 32, Anes Ayunie Osman (21), Muhammad Hakimi Mohd. Azmi (33) Ahmad Weldan Zulkefli (22) dan Muhammad Firdaus Alias (21) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan  wanita itu cedera pada kepala, tangan dan leher.

Dalam pertuduhan sama, mereka didakwa menyebabkan kecederaan pada tangan, kaki dan lutut sebelah kiri Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30. 

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 9 Julai 2022.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk setiap tertuduh.

Ahmad Adha dalam rayuannya memohon agar jaminan yang rendah diberikan kepada kelima-lima anak guamnya memandangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM5,000 disifatkan sangat tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Difahamkan, berlaku salah faham isu produk perniagaan melibatkan kesemua tertuduh dan kedua-dua peniaga itu sebelum mereka bertindak memukul mangsa. – UTUSAN

The post Dua pengasas produk kosmetik didakwa cederakan dua peniaga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *