IPOH: Dua lelaki berdepan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur, dua minggu lalu.

Tertuduh M. Shart Yanantham Naidu, 28, dan G. Kesevaraj, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas T. Murthi, 37, di Jalan Putra 8C, Taman Klebang Putra, Chemor antara pukul 10.40 hingga 11.28 malam, pada 30 Disember 2022.

Pertuduhan yang dibacakan secara bersama itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Sheelan Arjunan.

Majistret Jesseca menetapkan 6 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Media pada 31 Disember lalu melaporkan, Murthi yang merupakan penganggur ditemukan mati di hadapan rumahnya dengan pelbagai kesan kecederaan di badan.

Lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap oleh adik iparnya yang kemudian melaporkan pada polis sekitar pukul 11.28 malam.

Kejadian itu pada mulanya disangkakan kemalangan ekoran saksi ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran melarikan diri dari tempat kejadian.

Berdasarkan semakan, si mati didapati individu yang melarikan diri daripada pengawasan polis dari Parit Buntar dan satu laporan polis telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah. – UTUSAN

The post Dua rakan didakwa bunuh penganggur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *