PORT DICKSON: Dua remaja maut dalam kejadian kemalangan membabitkan lapan buah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 14.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Seremban malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa yang maut merupakan penunggang dan pembonceng salah sebuah motosikal terbabit.

Pembonceng motosikal tersebut maut di tempat kejadian dikenali sebagai Aqilah Aisyah Rafli, 14, beralamat di Taman Desa Gemilang, Kuala Lumpur.

Penunggang motosikal tersebut pula merupakan remaja lelaki berusia 19 tahun berasal dari Kajang, Selangor dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kemalangan berlaku terdapat kira-kira 50 buah motosikal mengekori di belakang sebuah kereta.

“Apabila sampai di Kilometer 14.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta lalu terjatuh di atas jalan.

“Tujuh buah motosikal lain cuba mengelak dan berlanggar sesama sendiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN.

The post Dua remaja maut, motosikal dinaiki langgar kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *