SUNGAI PETANI: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Jagung, Kampung Teluk, di sini, kira-kira pukul 12 tengahari ini.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kita mendapati kebakaran membabitkan empat buah rumah sederet kelas A.

“Bagaimanapun hanya dua buah rumah sahaja yang mengalami kebakaran, manakala dua buah kediaman lagi sempat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rumah pertama terbakar sebanyak 80 peratus, manakala rumah bersebelahannya terbakar kira-kira 20 peratus.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat telah dilakukan dan api dapat dikawal daripada merebak ke rumah lain dalam masa tiga minit. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. –UTUSAN

 

The post Dua rumah musnah terbakar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *