KUALA TERENGGANU: Dua sahabat baik yang bakal berentap di Parlimen Kuala Terengganu berjanji akan berkempen secara sihat tanpa memburukkan keperibadian pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Mereka ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong yang merupakan calon Barisan Nasional (BN).

Ahmad Amzad berkata, mereka berdua mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi, malah mempunyai beberapa hasrat hati (wawasan) yang sama untuk pembangunan Kuala Terengganu.

“Kebetulan pula, kami berdua adalah bekas pelajar sekolah yang sama di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di Kuala Nerus.

“Mohd. Zubir adalah senior saya, jadi kami tak berkesempatan berada dalam sesi persekolahan yang sama, bagaimanapun hubungan kami terjalin erat dalam alumni sekolah melalui pelbagai program yang diadakan.

“Kami juga pernah tinggal sebilik sepanjang mengerjakan umrah pada 1997, jadi kami berdua akan mengamalkan pertandingan yang sihat supaya pengundi Kuala Terengganu dapat wakil yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon, Stadium Negeri di sini hari ini.

Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai seramai 123,305 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam PRU15 kali ini.

Selain Ahmad Amzad dan Mohd. Zubir, dua lagi calon ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu serta Mohamad Abu Bakar Muda dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – UTUSAN

The post Dua sahabat baik berentap di Parlimen Kuala Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *