PETALING JAYA: Kedua-dua suspek kes pembunuhan tukang masak di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, 29 Disember lalu akan didakwa di Mahkamah Ampang esok. 

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak berkata, pasangan suami isteri berusia 30 dan 33 tahun itu akan dituduh esok pada pukul 10 pagi. 

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada 7 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan suspek lelaki dipercayai mempunyai pengetahuan berkaitan bahan letupan.

Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu dipercayai mempunyai minat serta pengetahuan dalam bidang elektrik dan pendawaian sehingga berjaya menghasilkan bahan letupan yang ditinggalkan atas kereta mangsa berusia 28 tahun itu.

Malah, hasil siasatan mendapati bahan letupan tersebut dihasilkan daripada bilah pisau pemotong kertas dan serbuk mozek sehingga mangsa cedera parah di bahagian badan dan tangan. 

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki dan isterinya, suri rumah berusia 30 tahun itu dipercayai berada di lokasi kejadian dan bahan letupan itu diletupkan disyaki menggunakan alat kawalan jauh.

Katanya, kedua-dua suspek turut mengenali mangsa kerana berasal dari kampung sama iaitu, Serdang, Kedah. 

“Setakat ini pihak polis telah merakam percakapan 36 saksi bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai berunsur peribadi. Kita turut merampas pelbagai barang kes termasuk bahan-bahan dipercayai digunakan untuk membuat letupan,” ujarnya.

Pada 29 Disember lalu, mangsa maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dalam kejadian 8.55 malam.

Susulan itu, polis menahan suspek dan isterinya yang masing-masing berusia 33 dan 30 tahun dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Serdang, Kedah, kira-kira pukul 7.20 malam, 3 Januari lalu.

Siasatan awal polis mendapati suspek lelaki mengesyaki mangsa ada hubungan dengan isterinya ketika tukang masak terbabit tinggal utara tanah air. – UTUSAN

The post Dua suspek bunuh tukang masak didakwa esok appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *