PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan tiga individu termasuk guru besar membabitkan kes kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 di Semenyih, dekat sini, Isnin lalu. 

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, polis merakam percakapan tiga individu iaitu dua guru sekolah serta seorang pekerja restoran. 

Katanya, polis juga akan memanggil pekerja bank bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Siasatan teliti dijalankan secara menyeluruh termasuk kemungkinan wujud elemen ‘orang dalam’.

“Kita dah periksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian namun tiada perkembangan positif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, hari ini. 

Katanya, buat masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd.Zaid Hassan dilaporkan berkata, guru besar sebuah sekolah di Beranang, di sini yang menjadi mangsa samun memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring daripada polis.

Dalam kejadian itu pukul 12.17 tengah hari pada Isnin lalu, guru berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan dari sebuah bank di pekan Semenyih, yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya.

Guru itu berseorangan mengeluarkan wang tunai berjumlah kira-kira RM109,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.

Mangsa mengeluarkan wang berkenan dan meletakkan di dalam beg sebelum meninggalkannya di tempat duduk hadapan kenderaan dipandunya, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

Difahamkan, selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, guru itu mendapati cermin kereta berkenaan dipecahkan di bahagian kanan kerusi penumpang belakang, dengan beg berisi wang tunai itu hilang. – UTUSAN

 

 

The post Duit bantuan awal sekolah lesap: Tiga individu diambil keterangan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *