PUTRAJAYA: Festival Seni Al-Quran Restu Global yang kini berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran di sini turut dihadiri Duta Turkiye baharu ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Beliau yang mula berkhidmat di negara ini sejak 27 Julai tahun lalu menyifatkan program seumpama ini amat baik bagi memupuk kecintaan umat Islam terhadap al-Quran di samping mempromosi keindahan kitab suci ini kepada bukan Muslim.

Pada masa sama, kerajaan Turkiye sedia bekerjasama dengan Nasyrul Quran dalam misi dakwah kepada seluruh dunia dan amat bangga melihat kecanggihan kompleks itu.

Emir Salim turut berpeluang menyaksikan pameran kaligrafi Islam negara itu di reruai antarabangsa yang juga disertai Iran dan Palestin selain pelbagai artifak Rasulullah SAW.

Beliau malah tertarik ketika meninjau proses percetakan al-Quran di kilang kompleks itu yang menjadi antara tumpuan utama pengunjung festival yang bermula Jumaat lalu sehingga 29 Januari depan, turut mempamerkan buku terbesar di dunia seberat 1,500 kilogram.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ramai tidak melepaskan peluang bagi menyaksikan ensiklopedia kisah Nabi Muhammad SAW itu yang diiktiraf Guinness World Records yang diterbitkan di Emiriah Arab Bersatu dan dihasilkan lebih 50 pakar sejarah Islam terkenal.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Korporat Nasyrul Quran, Norashikin Abdul Latiff yang ditemui berkata, lebih 8,000 pelawat direkodkan setelah tiga hari festival berkenaan.

Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan kepada pengunjung antaranya ceramah dan bengkel yang meliputi banyak topik semasa berkaitan dengan perihal kitab suci tersebut selain kemunculan maskot Alif dan Sofia yang menyantuni kanak-kanak dengan pelancaran siri Ohsem! Ar Rasul oleh penerbit animasi itu, Blindspot Studios.

Turut diadakan ialah lelongan pelbagai produk kesenian Islam dan jualan beraneka versi mushaf al-Quran dengan tawaran potongan harga menarik untuk dibeli para pengunjung.

Kompleks berkenaan seluas 2.2 hektar di Presint 14 itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 2017 lalu dengan peruntukan RM60 juta berupaya mencetak sehingga sejuta naskhah al-Quran setiap tahun dengan 70 peratus daripadanya diedarkan kepada negara-negara minoriti umat Islam seluruh dunia. – UTUSAN

The post Duta Turkiye antara ribuan pengunjung festival di Nasyrul Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *