KUANTAN: Terowong Kuantan sepanjang 2.8 kilometer yang merupakan satu-satunya terowong dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui dua negeri iaitu Pahang dan Terengganu dijangka siap pembinaannya, 27 April depan.

Terowong itu sudah mencapai tahap 95.93 peratus dan yang terpanjang di Seksyen B projek ECRL.

Pengurus Pembangunan Wilayah Malaysia Rail Link, Wan Kamal Wan Embong berkata, Terowong Kuantan unik kerana ia melintasi dua negeri di Pantai Timur dengan anggaran 976 meter bahagian terowong di negeri ini dan 1,890 meter di Terengganu.

“Terowong Kuantan yang mempunyai purata ketinggian 11.89 meter dan kelebaran 13.26 meter sesuai untuk pengoperasian landasan berkembar tolok standard dan membolehkan laluan kereta api memenuhi tahap maksimum kecerunan 0.9 peratus serta mengelakkan penebangan terbuka di Hutan Simpan Bukit Galing,” katanya selepas melakukan tinjauan di Terowong Kuantan di sini semalam.

Terowong Kuantan merupakan antara 39 terowong yang dirancang dibina dalam projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan Selangor.

Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion yang dijangka siap pada 2026 akan menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula dari Kota Bharu di Kelantan dan tamat di Lembah, Selangor.

Pembinaan laluan itu yang menyaksikan tempoh perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu, Kelantan hanya mengambil masa empat jam melibatkan pembinaan 10 buah stesen penumpang dan 10 stesen penumpang dan kargo.

Wan Kamal berkata, pembinaan projek ECRL sedang giat dilakukan dengan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan projek sudah berjaya disiapkan setakat ini.

Beliau berkata, pembinaan yang mencabar khususnya dalam aspek keselamatan pekerja dan impak kepada alam sekitar itu juga akan dipastikan bebas daripada banjir.

Sementara itu, Ketua Bahagian Alam Sekitar Malaysia Rail Link, Norhasrul Abu Hassan berkata, aspek alam sekitar sentiasa dititikberatkan apabila turut melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Pembinaan terowong di sepanjang laluan ECRL juga dapat mengurangkan kehilangan hutan simpan secara signifikan semasa pembinaan sekali gus menyelamatkan banyak habitat hutan.

“Dalam memastikan pemuliharaan haiwan liar, 27 laluan khas termasuk untuk gajah dirancang dibina di lokasi dikenal pasti sepanjang laluan ECRL,” ujarnya. – UTUSAN

The post ECRL: Terowong Kuantan 2.8 kilometer siap bulan depan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *