KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin akhirnya sudah mendapat penyelesaian terbaik daripada pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan kesilapan badan induk tersilap mendaftarkan nama mereka untuk menyertai Masters Indonesia 2023 24 Januari depan.

Bagaimanapun gandingan No. 7 Dunia itu tidak menjelaskan bentuk kaedah penyelesaian yang berjaya dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

“Semuanya sudah selesai,lagipun BAM sudah mengemukakan permohonan maaf dan kami pun tidak panjangkan isu ini. Kini, kami boleh fokus terhadap persiapan kami bagi menghadapi kejohanan sepanjang tahun ini,” kata Yew Sin selepas mereka mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Mereka berjaya meneruskan kemaraan selepas menewaskan Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China 21-13, 20-22, 21-15, dan bakal membuat perhitungan dengan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao dan Yang Po Han pada Khamis.

Justeru sebagai ganti kepada Kejohanan Indonesia Masters, Ee yi dan Yew Sin sepakat untuk menyertai Masters Thailand dalam usaha melonjakkan ranking dunia mereka.

“Kami memang tidak akan menyertai Masters Indonesia sebaliknya akan beraksi di Masters Thailand di Bangkok (dari 31 Januari hingga 5 Februari),” kata Ee Yi.

 

The post Ee Yi-Yew Sin capai jalan perdamaian dengan BAM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *