SAUDARA PENGARANG,

DALAM satu perkembangan politik dramatik, Rishi Sunak, seorang ahli politik keturunan India dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Britain sejak 25 Oktober lalu.

Beliau menggantikan Liz Truss dari Parti Konservatif yang hanya memerintah selama 45 hari. Kita perlu memastikan kerajaan yang akan dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak mengulangi kesilapan yang dibuat oleh Truss.

Truss membentangkan satu ‘bajet mini’ yang didapati amat membodohkan. Cadangan dasar ­fiskal mengembang Kabinet Truss bertentangan dengan dasar kewangan menguncup yang diamalkan oleh bank pusat, Bank of England.

Kabinet Truss mahu memotong cukai pendapatan dan menambah belanja kerajaan. Bank pusat pula ingin meningkatkan kadar faedah dan mengurangkan pegangan bon kerajaan.

Kedua-dua dasar berlawanan itu membawa krisis besar dan menghuru-harakan pasaran kewangan Britain. Sebelum pelantikan Truss sebagai Perdana Menteri, Britain dilanda keadaan ekonomi yang menggenting.

Harga bahan api meningkat sebanyak 80 peratus pada Oktober dan dijangka terus meloncat naik pada Januari tahun depan. Kemelesetan ekonomi menyebabkan berjuta-juta warga Britain sukar membayar bil pemanas dan elektrik rumah, di samping dihimpit teruk oleh kenaikan kadar inflasi yang kian meruncing.

Untuk mengambil hati para pengundi, Kabinet pimpinan Truss tergesa-gesa mengumumkan satu skim subsidi bahan api sebanyak 60 bilion pound bertujuan membantu sektor perniagaan dan rumah tangga bagi meringankan beban membayar kos bahan api yang terus melambung naik.

Beliau juga memperkenalkan satu program pemotongan cukai pendapatan yang sangat radikal. Saiz pengurangan cukai pendapatan itu dijangka mencecah 45 bilion pound merupakan yang terbesar sejak 1972.

Pelabur

Yang lebih kontroversi, Truss dikritik sebagai ‘merompak orang miskin untuk menyokong orang kaya.’ Kadar cukai pendapatan tertinggi dikurangkan daripada 45 menjadi 40 peratus.

Ironinya, para pembayar cukai pendapatan yang mempunyai perolehan lebih tinggi menikmati jumlah potongan cukai relatif besar berbanding dengan mereka yang hanya memperoleh pendapatan lebih kecil.

Tindakan tergopoh-gapah Kabinet Truss itu menggemparkan para pelabur global. Kadar pertukaran pound terhadap dolar Amerika Syarikat jatuh mendadak ke paras paling rendah dalam sejarah.

Pasaran bon kerajaan juga menjadi kucar-kacir. Harga bon kerajaan meleset tanpa henti. Dana-dana pencen membuang bon kerajaan dalam ketakutan bagi mengelak ia jatuh bankrap dan mengakibatkan kerugian besar kepada beribu-ribu pesara Britain.

Truss disifatkan sebagai seorang oportunis. Beliau tiada pegangan dan prinsip politik yang teguh. Beliau mudah mengubah pendiriannya untuk mencari peluang dalam perjuangan politik.

Pada mulanya, Kabinet Truss memperkenalkan dasar kewangan berbentuk neoliberalisme (keterbukaan dan pasaran bebas) dengan harapan dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi Britain.

Truss sebenarnya cuba meniru dasar ekonomi neoliberalisme yang dipelopori oleh Margaret Thatcher, Perdana Menteri dari Parti Konservatif pada 1980-an.

Sekarang, pengganti Truss, Sunak berada di tempat paling kritikal untuk menyelamatkan Britain daripada mengalami keruntuhan kewangan yang lebih teruk.

Kita perlu mengambil iktibar daripada fahaman populisme ahli politik sayap kanan seperti yang berlaku di Britain apabila suka mengambil hati para pengundi dengan menjanjikan pelbagai dasar dan program kurang realistik. – UTUSAN

KOH YOK HWA, Universiti Malaya (UM)

The post Elak perkenal dasar ekonomi populisme, tergopoh-gapah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *