KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan bubar hanya disebabkan dakwaan empat wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) keluar parti.

Ketika ini, GRS berada dalam kedudukan selesa dengan memiliki 52 daripada 79 kerusi DUN Sabah termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, empat ADUN GRS itu telah membuat penafian bahawa mereka kekal bersama GRS.

Beliau berkata, khabar angin sebegitu timbul kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mengatakan DUN Sabah akan dibubarkan.

“Ini mudah sahaja apabila sudah dimaklumkan oleh keempat-empat ADUN itu bahawa mereka menafikannya maka, secara jelas tidak ada sedikit pun terlintas difikiran masyarakat bahawa perlu ada pembubaran DUN.

“Sudah menjadi lumrah politik, setiap kali menjelang pilihan raya pelbagai isu dimainkan, tidak kisahlah pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan DUN Sabah goyah susulan empat ADUN GRS didakwa keluar parti.

Pada Sabtu, seorang ADUN Bersatu, Datuk Wetrom Bahanda (Bandau) bertindak keluar parti bagi menyertai Parti Warisan (Warisan).

Mengulas lanjut katanya, tindakan ADUN Bersatu itu keluar parti mungkin disebabkan kelewatan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di peringkat negeri.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor memaklumkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu akan dibentang di DUN Sabah pada hujung November.

Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi itu berkata, apabila RUU itu dibentang dan diluluskan, mungkin corak politik Sabah akan mula berubah.

“Kita akan melihat politik yang lebih sihat supaya setiap perubahan yang dilakukan ada kebaikan untuk negeri Sabah, itu adalah matlamatnya,” katanya. –UTUSAN

The post Empat ADUN nafi keluar, DUN Sabah tidak akan bubar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *