ALOR SETAR: Menerusi sesi yang jarang berlaku dalam dunia politik di negara ini, empat calon parti berbeza yang bakal merebut kerusi Parlimen Alor Setar dipertemukan dalam dialog bersama penduduk, hari ini. 

Dalam sesi itu, Datuk Nuhairi Rahmat yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Simon Ooi Tze Min (Pakatan Harapan); Afnan Hamimi Taib Azamudden (Perikatan Nasional) serta Tan Chee Hiong (Barisan Nasional) berkongsi idea, misi dan visi tanpa menyentuh isu politik kepartian. 

Bagi Chee Hiong, antara isu yang menjadi tumpuannya adalah sektor ekonomi yang dilihat tidak mempunyai hala tuju selain masalah banjir yang terlalu kerap berlaku di sesetengah kawasan. 

“Bandar raya ini sebenarnya ada potensi cukup besar untuk kita bangunkan sebagai bandar perdagangan pertanian apatah lagi bersandarkan kedudukannya yang terletak dengan laluan perairan penting dan Thailand. 

“Seperti kita tahu landasan kereta api di Thailand dibina laluannya terus sampai ke China. Cuba bayangkan kalau kita mampu manfaatkan semua itu untuk membangunkan ekonomi. 

“Bukan mustahil untuk ikan haruan di bendang-bendang kita ditangkap, diletakkan dalam kontena dan selepas tiga hari produk itu dapat dijual di Kunming, China dengan harga lebih mahal,” katanya. 

Sementara itu ujar Nuhairi, antara isu utama yang perlu diberi perhatian adalah kurangnya peluang pekerjaan terutama untuk anak-anak muda serta jurang kemiskinan yang tinggi. 

“Saya membesar di Alor Setar dan melihat sendiri kemajuan bandar raya ini sejak dahulu. Azam saya adalah untuk naikkan sektor pelancongan kerana dalam keadaan kita menghadapi masalah ekonomi, saya fikir cara paling cepat untuk mengatasinya adalah sektor pelancongan. 

“Kita memiliki pelbagai kemudahan seperti lapangan terbang, stesen kereta api, lebuh raya serta tempat bersejarah tetapi selama ini kita tidak mengeksploitasi semua itu untuk menaikkan industri pelancongan,” katanya. 

Dalam pada itu, Simon Ooi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang menekankan lima teras utama yang sudah digariskan bagi merancakkan pembangunan Alor Setar daripada pelbagai sudut. 

“Antaranya memajukan industri pelancongan, tumpuan kepada industri kecil dan sederhana, pendidikan, perumahan dan pertanian. Di situlah sebenarnya kita boleh jana lebih banyak peluang kerja dan perniagaan.

“Dalam masa sama, matlamat kami adalah membawa lebih banyak institusi pengajian tinggi ke Alor Setar. Ianya akan membawa lebih ramai orang tinggal di Alor Setar sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk,” katanya. 

Afnan Hamimi pula membangkitkan tiga isu utama di Alor Setar iaitu berkaitan penjaja, beberapa kampung yang mudah dinaiki air serta pemeliharaan Alor Setar sebagai kota warisan. 

“Terdapat potensi tersembunyi di Alor Setar untuk kita jadikan sebagai bandaraya warisan dalam taman. Bandar raya ini sudah wujud sejak perang dunia kedua dengan dikenali sebagai Kota Setar dan sudah tentu terlalu banyak perkara warisan bersifat sejarah yang perlu diuar-uarkan supaya orang ramai kenang kembali hubungan keharmonian yang terbina sejak dulu kala di bandar raya ini.

“Dalam melakukan pembangunan di kota penuh warisan ini, ia perlu dilakukan seperti dalam taman untuk mempertahankan struktur muka bumi serta mengatasi masalah banjir yang berlaku,” katanya. –UTUSAN

The post Empat calon berkongsi platform kemuka visi untuk Alor Setar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *