KUALA TERENGGANU: Empat graduan terbaik dalam Majlis Konvokesyen Ke-7 Universiti College Bestari (UCB) mengakui kesungguhan pensyarah, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur serta suasana kampus yang kondusif antara faktor kecemerlangan mereka sepanjang mengikuti pengajian di kolej universiti itu.

Empat graduan itu ialah Akmal Adzimuddin Yunus, 23 yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Emas, Muhamad Aiman Halim, 24 (graduan terbaik Ijazah Sarjana Muda), Engku Muhammad Atif Engku Ngah Sayuddin, 22 (graduan terbaik Diploma) dan Nur Athirah Fatini Zaini, 21 (graduan terbaik Asasi).

Akmal Adzimuddin berkata, beliau sangat bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian warga UCB yang terkenal sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang sangat cemerlang di negara ini.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, pensyarah UCB sangat prihatin dalam membantu pelajar agar dapat memahami setiap mata pelajaran dengan baik.

“Tumpuan yang diberi oleh pensyarah adalah 100 peratus dan dalam setiap kelas tutorial pula, jumlah pelajar dihadkan agar pensyarah boleh memberi fokus kepada setiap pelajar. Itu antara keistimewaan UCB.

“Hasilnya, saya mampu mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan kini bekerja secara kontrak di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-7 Universiti College Bestari UCB di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.

Beliau adalah antara 899 graduan yang diraikan sempena majlis konvokesyen yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Daripada 899 graduan itu, lapan graduan adalah daripada program ijazah sarjana, 293 adalah graduan ijazah sarjana muda, 550 graduan diploma dan 48 graduan daripada program Asasi.

Semua skroll untuk graduan disampaikan oleh Canselor baharu UCB iaitu mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abas.

Bagi Muhamad Aiman pula, dia mula tertarik dengan UCB ketika wakil kolej universiti itu datang ke sekolahnya dan memberi penerangan mengenai pengajian  peringkat asasi adalah percuma.

“Sejak itu, saya terdetik hati mahu menjadi penerima manfaat sebagai pelajar Asasi kerana tempohnya hanya setahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. 

“Alhamdulillah, pengajian di asasi adalah percuma dan tidak membebankan keluarga. Lokasinya di Setiu juga sangat damai kerana jauh dari kesibukan bandar.

“Kos yuran di UCB juga boleh dikatakan sangat murah dan keputusan cemerlang saya iaitu PNGK 3.97 melayakkan saya menukar status pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa,” katanya yang kini bekerja sebagai pegawai tadbir secara kontrak di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pendapat sama turut dikongsikan oleh Engku Ngah Sayuddin yang memaklumkan graduan UCB terutama Diploma Kejururawatan sepertinya dan kawan-kawan adalah sangat laris di pasaran dalam dan luar negara.

“Sebaik sahaja tamat menjalani latihan industri, saya terus mendapat tawaran menjadi jururawat di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang dengan gaji yang agak lumayan.

“Begitu juga dengan kawan-kawan sepengajian yang lain, kami tidak sempat menganggur kerana banyak mendapat tawaran kerja kerana kemahiran dan disiplin graduan UCB tidak dapat disangkal lagi dalam industri perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Tambahan pula permintaan untuk jururawat lelaki sangat tinggi dan saya menggalakkan agar pelajar lelaki menyambung pengajian di UCB kerana laluan kerjaya untuk masa depan sangat cerah,” katanya yang berasal dari Jeli, Kelantan.

Bagi Nur Athirah Fatini pula, beliau bersyukur kerana tidak perlu bersusah payah memikirkan kos pengajian atau rumah sewa sebagaimana pelajar universiti yang lain kerana ia ditanggung secara percuma oleh UCB.

“Pengajian saya di peringkat Asasi Pengajian Islam bernilai RM10,000 ditanggung sepenuhnya oleh UCB, begitu juga kolej kediaman disediakan di dalam kampus.

“Jadi, keluarga saya tidak perlu risau memikirkan keselamatan dan kebajikan sepanjang saya berada di UCB kerana semuanya berada pada tahap yang terbaik,” katanya yang mendapat PNGK 4.0 dalam Asasi dan kini sedang berada di semester lima Ijazah Syariah (Kepujian),” ujarnya. –UTUSAN

The post Empat graduan terbaik akui UCB  cemerlang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *