ALOR SETAR: Empat lelaki ditahan melibatkan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran pelbagai kesalahan sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, polis turut menerima 263 laporan dengan 24 kertas siasatan yang dibuka setakat semalam.

“Antara kesalahan adalah melakukan perbuatan khianat seperti membakar bendera parti dan merosakkan poster calon, melakukan fitnah dan ugutan, tiada permit ceramah serta memecah premis parti.

“Semua kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pilihan Raya 1954. Polis tidak teragak-agak menahan mana-mana individu yang sengaja melakukan provokasi dengan niat untuk mengganggu ketenteraman masyarakat,” katanya selepas proses mengundi awal, di sini.

Terdahulu, Wan Hassan mengundi di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada pukul 9.10 pagi.

Seramai 6,041 pengundi awal membabitkan warga PDRM Kedah terlibat dalam proses pengundian awal di 20 pusat undi awal seluruh negeri.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, semua persiapan telah dilakukan dengan penumpuan di 89 lokasi panas yang dikenal pasti bagi memastikan proses mengundi pada 19 November ini, berjalan lancar.

“Lebih 5,000 pegawai dan anggota bertugas pada hari mengundi nanti dan tumpuan lebih akan diberikan di lokasi-lokasi panas. 

“Jadi, saya minta semua kepemimpinan parti dapat menasihatkan ahli-ahli mereka supaya berkempen secara baik dan tidak membabitkan elemen hasutan dan provokasi,” katanya. – UTUSAN

 

The post Empat individu ditahan sepanjang kempen PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *