PETALING JAYA: Empat pelajar sekolah ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di sekitar Kajang. 

Kesemua suspek berusia 15 hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira 8.50 malam oleh sepasukan polis daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Daerah Kajang. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya semalam menerima laporan polis daripada seorang pelajar berusia 16 tahun yang menyatakan dia serta rakannya telah dipukul sekumpulan pelajar kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari sama. 

Katanya, punca kejadian disebabkan rentetan daripada selisih faham di dalam sekolah bermula Rabu lalu apabila pengadu telah berselisih faham dengan rakan suspek yang didakwa telah mencampakkan duit ketika hendak membeli minuman di kantin semasa waktu rehat.

“Perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk akibat tidak berpuas hati. 

“Suspek juga bertindak meminta bantuan dari rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Zaid berkata, semakan mendapati video yang dikesan telah tular adalah kejadian pergaduhan pada Khamis dan Jumaat di dua tempat berlainan berhampiran dengan sekolah tersebut. 

Ujarnya, pemeriksaan ke atas pengadu dan mangsa mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan badan. 

“Kesemua tangkapan merupakan remaja bawah umur yang bersekolah di sekolah yang sama dengan pengadu. 

“Mereka akan dipohon reman di Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Inspektor K. Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

The post Empat pelajar sekolah terlibat pergaduhan ditahan  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *