SUNGAI PETANI: Polis menahan enam individu, manakala dua lagi dicari bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong parti politik di kawasan Dataran Zero di sini, Sabtu lalu.

Dua individu yang dikesan ialah Shahrul Haizat Abdul Rozak, 35, atau dikenali sebagai Jat Perre beralamat di Taman Delima, di sini.

Seorang lagi Mohd. Iedir Mohamed, 43, atau dikenali sebagai Edin yang beralamat di Taman Berlian Indah, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, enam individu terbabit ditahan di kawasan Jalan Lagenda Height, di sini pada pukul 2 petang, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 2.15 pagi itu berpunca disebabkan pertembungan dua kumpulan penyokong parti berlainan di tempat yang sama.

“Setelah itu berlaku pergeselan bendera parti yang mengenai tubuh salah seorang penyokong parti politik tersebut sehingga berlaku kekecohan. Kita kini dalam usaha mengesan dua lagi individu terbabit bagi membantu siasatan.

“Selain itu, tindakan lanjut masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh tampil ke cawangan balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Muhammad Firdaus Mohd. Nasir di talian 04-4299222/012-3517317.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).- UTUSAN

 

The post Enam ditahan, dua diburu bantu siasat pergaduhan penyokong parti politik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *