KULIM: Lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kulim sementara sebuah di Bandar Baharu akibat banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, lima PPS yang dibuka di Kulim menempatkan 59 buah keluarga dengan jumlah mangsa seramai 231 orang.

Katanya, PPS tersebut antaranya Surau Taman Sang Kancil; Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau, Dewan Penghulu Paya Tok Betuk; Masjid Sungai Seluang dan SK Permatang Tok Dik.

“Hujan lebat kira-kira pukul 4 petang dan berlarutan selama lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki selepas air sungai melimpah. 

“Paras air yang naik kira-kira 0.5 meter menyebabkan mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS dan anggota mula menjalankan operasi menyelamat mangsa kira-kira pukul 7 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sebuah PPS yang beroperasi di surau Kampung Batu 18, Bandar Baharu pula menempatkan dua buah keluarga dengan lapan mangsa.

Beberapa kawasan lain turut dilanda banjir kilat antaranya Taman Tunku Putra, Taman Seri Kulim, Kampung Padang Tembak serta Taman Tiong, namun tiada PPS yang dibuka. –UTUSAN

The post Enam PPS dibuka di Kulim appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *