KUALA LUMPUR: Sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan Polis Kuala Lumpur di seluruh kawasan berhampiran Istana Negara terutamanya di sekitar Pintu 2.

Selain itu, seramai 632 pegawai dan anggota membabitkan penugasan  Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut ditempatkan mengawasi kawasan sekitar Istana Negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata,  pengawasan di  sekitar Istana Negara termasuk setiap laluan pintu masuk adalah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Selain itu juga pelaksanaan kawalan dan penugasan ini adalah bagi memastikan urusan rasmi Istana Negara, memanggil setiap pemimpin parti politik dan pegawai tertinggi kerajaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata, sebanyak 24 SJR didirikan bermula malam semalam di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kesemua 24 SJR ini adalah termasuk enam SJR yang dilaksanakan di kawasan berhampiran Istana Negara.

“Seramai 104 pegawai dan 1,336 anggota terbabit dalam  SJR dan kawalan keselamatan dalam Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azmi meminta orang ramai sentiasa memberikan kerjasama kepada pegawai dan anggota polis yang melaksanakan penugasan di SJR.

Tinjauan Utusan Malaysia di  Pintu 2, Istana Negara mendapati kawalan keselamatan dilaksanakan di semua laluan masuk membabitkan pelbagai elemen dan jabatan dalam PDRM.

Turut ditempatkan Pasukan Tempur Ringan (LSF). – UTUSAN

The post Enam sekatan jalan di sekitar Istana Negara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *