PETALING JAYA: Sebanyak enam trofi bakal menjadi taruhan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan dua trofi tambahan diperkenalkan iaitu Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dan ia menyaksikan pertandingan Liga Simpanan yang dikenali sebagai Piala MFL diadakan buat kali pertama manakala Piala Cabaran MFL dipertandingkan semula selepas tiga tahun sejak dianjurkan pada 2018 dan 2019.

Menurut Stuart, selain dua saingan itu, empat kejohanan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kekal menjadi rebutan buat 14 pasukan elit dalam Liga M musim ini.

Tambahnya, jumlah berkenaan susulan dua pasukan tidak akan bertanding iaitu UiTM FC dan Petaling Jaya City(PJ City).

“Bagi musim 2023, sebanyak 14 kelab akan bersaing dalam Liga M selepas UiTM FC menarik diri daripada bertanding kerana gagal mendapatkan dana pasukan.

“Manakala PJ City FC gagal menyelesaikan proses pengambilalihan pelabur baharu,” katanya pada sidang media pengumuman Liga M musim ini di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Sejumlah 14 kelab akan merebut kejuaraan dalam saingan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC.

Tujuh lagi pasukan yang melengkapkan senarai itu adalah Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan Perak FC.

Manakala saingan Piala MFL akan disertai skuad B-23 daripada kelab Liga Super serta satu pasukan daripada Skuad Projek FAM-MSN.

Aksi pembuka tirai merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT (juara Liga Super musim lalu) dan Terengganu FC (naib juara Liga Super musim lalu) akan dilangsungkan pada 24 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan Piala Sumbangsih adalah perlawanan pertama bagi Pertandingan Liga Super dan pungutan mata perlawanan akan dikira sebagai mata di dalam Liga Super 2023.-UTUSAN

 

The post Enam trofi jadi rebutan di Liga Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *