KOTA BHARU: Dewan Pemuda Kelantan membidas tindakan UMNO yang melabelkan parti itu takut kehilangan kuasa selepas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak dengan Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamad berkata, parti itu tidak segelojoh pihak yang mengecewakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila bertindak membubarkan parlimen secara tergesa-gesa.

“Keputusan Kelantan untuk membubarkan DUN atau tidak lebih kepada pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

“Kita (Pas Kelantan) pastinya akan membuat keputusan saksama dalam soal ini termasuk penegasan pentingnya penyatuan ummah,” katanya dalam satu kenyataan selepas menjawab desakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor yang mencabar kerajaan negeri membubarkan DUN serentak dengan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Noor Hariri mencabar Pas Kelantan membubarkan DUN secara serentak dengan Parlimen sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu.

Mohamad Kamal memberitahu, Noor Hariri tidak seharusnya gopoh membuat cabaran agar DUN Kelantan dibubarkan serentak.

Katanya, pada masa sama Noor Hariri perlu lebih terbuka untuk sama ada menerima dapatan kajian yang dinyatakan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkaitan penolakan undi anak muda terhadap Barisan Nasional (BN).

“Anda boleh sahaja untuk menyemak melalui kajian yang dijalankan sendiri oleh Noor Hariri atau dapatan lain yang memuaskan hati,” ujarnya. – UTUSAN

The post Enggan bubar DUN bukan sebab takut hilang kuasa – Pemuda Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *