PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) didakwa lari daripada masalah yang dicipta mereka selepas enggan mengulas berhubung hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan Tommy Thomas.

Ketua Puteri Barisan Nasional (BN), Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ini kerana tindakan tersebut seolah-olah memberi gambaran bekas Peguam Negara itu tidak mempunyai kaitan dengan pakatan berkenaan. 

“Sudah dijangka, PH akan lari daripada masalah mereka. Paling mudah sebenarnya salahkan UMNO. Satu dunia tahu Tommy adalah Peguam Negara lantikan kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

“Tommy  sudah banyak ‘berjasa’ sebagai peguam negara, menjayakan agenda bantu bebaskan kawan dan dakwa musuh-musuh politik PH waktu itu. Sebelum itu pula dilaporkan Tommy juga adalah peguam peribadi kepada pemimpin tertinggi DAP. 

“Sekarang kalian nak kata dia tak ada kaitan dengan PH?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas seorang pemimpin tertinggi PH dilapor menolak gesaan agar gabungan itu mengulas mengenai hasil siasatan terhadap buku tulisan Tommy. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sama ada Thomas benar-benar melanggar undang-undang. 

“Kami tak perlu jawab untuk Tommy. Beliau bekas peguam negara, bukan pemimpin PH. Beliau bukan ahli mana-mana parti politik. 

“Kami tahu mereka mahu politikkan perkara ini dan mengambil kesempatan (atasnya) menjelang PRU-15. Kami takkan masuk perangkap itu.” katanya. – UTUSAN

The post Enggan ulas siasatan Tommy, PH lari daripada masalah – Zahida Zarik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *