DOHA: Pengendali England, Gareth Southgate menegaskan, banyak lagi yang perlu diperbaiki pasukannya walaupun memulakan Piala Dunia 2022 dengan cemerlang apabila membenam cabaran Iran 6-2.

Skuad Three Lions berjaya meledak enam gol dalam perlawanan pembukaan, sekali gus melenyapkan kritikan terhadap Southgate yang sebelum ini dikatakan terlalu berhati-hati dalam perancangan taktikal.

Jude Bellingham, 19, membuka tirai jaringan England, manakala Bukayo Saka, 21, meledak dua gol, sekali gus meletakkan barisan muda England dalam kelas tersendiri.

Saka adalah pemain termuda England yang meledak lebih satu gol dalam perlawanan Piala Dunia, manakala Bellingham menjadi pemain kedua termuda skuad itu dalam sejarah di belakang Michael Owen.

Selain dua pemain tersebut, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish juga meledak di Stadium Antarabangsa Khalifa untuk memberi harapan buat peminat melihat England melangkah lebih jauh.

Bagaimanapun, ketika Three Lions mencipta kejutan dalam misi merampas Piala Dunia sejak 1966, Southgate meluahkan kekecewaan apabila barisan pertahanan membenarkan Iran menjaringkan dua gol

Dengan cabaran lebih sukar menanti mereka dalam Kumpulan B yang turut dianggotai Amerika Syarikat (AS) dan Wales, Southgate menggesa pemainnya mengekalkan fokus dan memperbaiki kesilapan.

“Kami sangat gembira de­ngan permulaan ini. Kebiasaannya, Iran pasukan yang sukar dibolosi dan kredit harus diberi kepada pemain kerana pkualiti dalam melakukan penyudah.

“Saya tidak gembira bagaimana kami menamatkan permainan, melepaskan dua gol. Kami perlu lebih baik apabila menentang AS kerana mereka akan memasuki padang dengan sepenuh semangat.

“Saya sedar fokus sedikit hilang tetapi masih banyak perkara perlu dilakukan untuk melayakkan diri. Sudah tentu ia permulaan baik buat kami pada edisi kali ini,” kata Southgate.

Sementara itu, Saka yang pemain sayap Arsenal berkata, England berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran.

“Terdapat banyak spekulasi mengenai prestasi kami, tetapi kami membuktikan kepada semua yang kami mempunyai kualiti,” katanya. – AGENSI

The post England kena lebih padu jumpa Amerika Syarikat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *