DOHA : England melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 selepas mudah menewaskan Wales, 3-0 pada aksi di Stadium Ahmed bin Ali sebentar tadi.

Dua jaringan Marcus Rashford pada babak kedua dan satu gol menerusi Phil Foden memberikan kemenangan England ke atas jiran tetangga Wales.

Tiga mata yang diraih membolehkan skuad Three Lions muncul selaku juara Kumpulan B dan ia juga menamatkan impian Wales untuk mara ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan tersebut, pengendali England, Gareth Southgate melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Marcus Rashford dan Phil Foden di jentera serangan digandingkan bersama Harry Kane.

Three Lions lebih banyak menguasai bola pada babak pertama berbanding The Dragons yang dikendalikan oleh Rob Page namun kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Memasuki separuh masa kedua, England mula tampil lebih garang dan hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol menerusi Rashford hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-50.

Gol tersebut menaikkan semangat England dan kini giliran Foden untuk menambah derita pasukan lawan dengan menyudahkan hantaran Kane berselang satu minit kemudian.

Rashford nyata menjadi wira buat England apabila berjaya menewaskan penjaga gol Wales, Danny Ward pada minit ke-68 untuk menjamin kemenangan 3-0.

Kemenangan itu meletakkan England berada di puncak carta kumpulan dengan tujuh mata dan bakal bertemu Senegal pada pusingan seterusnya.

Bagi Wales pula mereka menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata pertama buat mereka di Piala Dunia selepas tempoh 64 tahun penantian.-AGENSI.

The post England mudah benam Wales 3-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *