LIVERPOOL: Bekas bintang Jerman dan Liverpool, Didi Hamann bimbang era kegemilangan Jurgen Klopp di Liverpool mungkin berakhir tidak lama lagi.

Kebimbangan itu disuarakan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Rangers esok selepas Reds mengalami kekalahan terbaharu 3-2 kepada Arsenal, Ahad lalu yang menyaksikan mereka terperosok ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hamann, 49, yang menghabiskan tujuh tahun di Anfield sehingga 2006, bimbang dengan pelbagai isu semasa kalah di London.

Klopp meraikan ulang tahun ketujuhnya di Merseyside pada Sabtu tetapi Hamann menyifatkan perbincangan prestasi pengurus pastinya menjadi bualan.

PEMAIN Liverpool kecewa selepas dibedil Arsenal.

“Pada satu peringkat, saya fikir kita akan mengadakan perbincangan mengenai pengurus dan saya tidak pasti sejauh mana kita berada di situ.

“Klopp adalah lelaki yang tepat untuk melakukannya, tetapi saya melihat perkara kecil seperti Jordan Henderson pada pertengahan minggu dan dengan berat hati menanggalkan lilitan lengannya sambil menggelengkan kepalanya.

“Ini adalah sesuatu yang kami tidak pernah lihat di Liverpool selama lima tahun.

“Mungkin ini adalah petanda kecil bahawa orang ramai mempunyai sedikit masalah dengan pasukan atau pun pengurus. Jika keputusan positif tidak dicapai maka pengurus akan berada di bawah tekanan,” tegasnya.

KECEDERAAN Luis Diaz memberi tamparan buat Liverpool.

Liverpool bermain 63 perlawanan musim lalu dan mereka mempunyai peluang untuk merangkul empat kejuaraan, tetapi muncul naib juara di belakang Manchester City pada aksi EPL, selain bergelar naib juara Eropah setelah kalah kepada Real Madrid pada perlawanan akhir.

Reds hanya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan EPL dan ketinggalan 14 mata dengan Arsenal yang memimpin liga ketika ini.

TRENT Alexander-Arnold menyukarkan lagi keadaan Liverpool apabila cedera buku lali. 

Esok, mereka akan bertandang ke Rangers dengan penuh keresahan biarpun menumpaskan kelab Scotland itu 2-0 dalam aksi pertama mereka minggu lalu.

Ketiadaan bintang penyerang Colombia, Luis Diaz yang disahkan tidak dapat beraksi sehingga hujung tahun akibat kecederaan lutut menambah kebimbangan Reds.

Mereka juga hilang khidmat bek kanan, Trent Alexander-Arnold yang berdepan masalah buku lali. – AGENSI

The post Era Klopp tiba di penghujung? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *